SHAH ALAM, 1 Disember- Semua parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) perlu memanfaatkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan bagi menambah keyakinan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang.
Justeru, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan pilihan raya negeri lalu perlu dijadikan iktibar untuk pimpinan BN dan Pakatan Harapan (PH).
Ini penting dalam memperhalusi usaha serta memperkuat semula sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan agar kembali dominan.
"Ini landskap politik baharu dan ini realiti politik baharu. Kita harus akui hakikat Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum, negara yang majmuk.
Kemajmukan inilah yang diperjuangkan oleh PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan rakan-rakan lain. Untuk menentukan kestabilan politik hendaklah mengambil kira pelbagai kaum, agama dan latar belakang. Ini hakikat," kata Dr. Ahmad Zahid, hari ini.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian dalam ucaptama perasmian Konvensyen BN Selangor, di sini.
Lebih 500 perwakilan pelbagai sayap parti hadir dalam konvensyen tersebut.
Antara perkara yang dibincangkan adalah usaha memperkukuh organisasi parti serta kerjasama erat bagi menghadapi cabaran landskap politik.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid turut menekankan pentingnya setiap parti komponen dalam BN terus diperkukuh secara optimum agar gabungan ini terus relevan serta proaktif untuk mendapatkan sokongan rakyat.
"Teknologi berubah, organisasi serta ekosistem yang ada di negara juga berubah. Maka, kita harus berubah. Dalam keadaan itu, saya minta kepimpinan di atas santuni kepimpinan di bawah.
Yang di bawah hormatilah yang di atas agar kombinasi ini akan menyebabkan BN relevan, dominan semula dalam politik di Selangor dan tanah air," tambah Zahid.