TUMPAT, 1 Disember - Polis Kelantan masih belum menerima laporan jumlah kenderaan yang dihanyutkan banjir susulan jalan utama yang menghubungkan Tumpat - Pengkalan Kubor di Taman Seri Bayu, Jubakar Pantai terputus.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, setakat ini masih belum ada pihak yang hadir ke balai polis untuk membuat laporan.
Beliau berkata, pemilik kereta berkemungkinan tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) dan masih tidak tahu kejadian yang berlaku.
Katanya, lokasi tersebut menjadi tempat penduduk terjejas banjir meletakkan kenderaan kerana kawasannya yang lebih tinggi.
Namun katanya, disebabkan terjahan arus deras akibat banjir luar biasa menjadikan jalan tersebut mendap sebelum terputus.
"Jadi sekarang ini kita tidak dapat lagi laporan berapa jumlah sebenar kenderaan sebab apa, orangnya tiada lagi. Tuan punya kereta ini mungkin duduk di PPS lagi," kata Mohd Yusoff.
Beliau berkata demikian selepas meninjau lokasi kejadian jalan terputus yang menghubungkan Tumpat ke Pengkalan Kubor di Taman Seri Bayu, Jubakar Pantai, di sini.
Katanya, orang ramai yang ingin ke Pengkalan Kubor selepas ini perlu menggunakan laluan alternatif.
Mohd Yusoff turut menasihatkan orang ramai supaya patuh arahan pihak berkuasa terutama di kawasan yang diletakkan garisan kuning kerana kawasan tersebut berbahaya.
Selain itu, beliau berharap agar orang awam yang terjejas banjir, patuh arahan pihak berkuasa sekiranya mereka diminta untuk berpindah ke PPS.