fb fb fb fb fb

PRU15: PDRM gerakkan lebih 94,000 anggota seluruh negara

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 10 Oktober- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengatur gerak seramai 94,411 pegawai dan anggota di seluruh negara bagi memastikan kelancaran Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 120,557 anggota pasukan PDRM yang akan ditugaskan untuk penugasan berkaitan perjalanan pilihan raya.


(Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani / Foto Bernama)

Pada masa sama, katanya, PDRM juga akan bekerjasama erat dengan semua agensi, terutama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan proses pemilihan demokratik di negara ini berjalan lancar.

"PDRM akan berganding bahu dengan agensi penyelamat untuk bersama-sama menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana alam dalam tempoh berlangsungnya PRU ke-15 kelak.

"Sehubungan itu, PDRM meminta semua pihak mainkan peranan agar proses PRU15 berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Acryl Sani berkata sebagai anggota masyarakat yang matang dalam menghadapi senario politik, usaha semua pihak untuk mengelak daripada menyentuh perkara-perkara sensitif amat diperlukan.

Menurutnya, PDRM komited dalam menjalankan penugasan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Terdahulu, Ismail Sabri dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi siaran langsung stesen televisyen tempatan, mengumumkan pembubaran Parlimen dan menyatakan bahawa ia dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

Perdana Menteri berkata dengan pembubaran itu, mandat akan dipulangkan kepada rakyat bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.

Media Baharu