fb fb fb fb fb

Pembubaran Parlimen, wujudkan kerajaan kukuh demi keselamatan ekonomi negara

KUALA LUMPUR, 10 Oktober- Kepentingan mewujudkan kerajaan yang kukuh berikutan ketidakstabilan situasi politik negara dan keselamatan ekonomi global memerlukan satu keputusan terbaik dibuat untuk rakyat.

Menurut Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, pengumuman pembubaran parlimen oleh Perdana Menteri itu sememangnya dibuat tepat pada masanya.


(Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin)

Jelasnya, Perdana Menteri perlu membuat keputusan yang tepat demi memastikan keutuhan dan kestabilan sosio politik serta keselamatan rakyat sentiasa diutamakan.

"Inilah satu bentuk harapan yang kita mahukan daripada satu bentuk pimpinan negara untuk terus membawa negara menghadapi segala bentuk ancaman walaupun terpaksa pada dasarnya mengorbankan jawatan atau memperlihatkan kewujudan satu kekuatan baru untuk membubarkan parlimen yang dikatakan dalam keadaan tidak sesuai," katanya.

Pembentangan bajet 2023 memberi peluang kepada rakyat untuk membuat penilaian tentang kesiapsediaan kerajaan dalam membuat perancangan ekonomi pada masa akan datang.

"Rang undang-undang pembekalan ataupun bajet yang telah dibentangkan 2023 sebenarnya adalah signifikan, ia tidak sia-sia, kerana apa yang berlaku apabila bajet itu dibentangkan, masyarakat boleh melihat perancangan kerajaan yang menjadi satu acuan asas untuk menghadapi kemelesetan ekonomi, tekanan global dan menghadapi fasa endemik yang sedang berlaku untuk kita keluar sepenuhnya daripada COVID-19 dan ketidak tentuan geo politik global," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan sedia ada masih lagi dikekalkan mewakili kerajaan sementara.Namun, terdapat sekatan tertentu yang perlu dipatuhi terutamanya melibatkan kempen politik membabitkan dasar atau polisi yang boleh mendatangkan impak besar kepada negara.

"Sebenarnya kerajaan itu masih lagi sedia wujud untuk diuruskan berdasarkan dengan apa yang telah diperkenankan dan apa yang dipersetujui oleh yang di pertuan agung dan kita rasa-rasa kerajaan ni boleh terus memainkan peranan sementara tetapi cuma dari segi aspek-aspek yang lebih berhemah tidak boleh digunakan dalam kempen-kempen pilihan raya," katanya.


Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan parlimen dibubarkan berkuatkuasa hari ini untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15.

Media Baharu