fb fb fb fb fb

PRU DUN SABAH: Langkah tangani penyebaran berita palsu diteliti

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Seminar Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Anak Pantai 2025 di Mahsa Avenue International College /BERNAMA

Kuala Lumpur, 18 Oktober- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diminta untuk mengadakan pertemuan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan langkah menangani penyebaran maklumat palsu menjelang Pilihan Raya Negeri Dewan Undangan Negeri Sabah (PRU DUN) ke-17, yang dijadualkan hujung November depan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata pertemuan itu akan memfokuskan kepada penyelarasan tindakan antara agensi-agensi terlibat dalam menghadapi sebarang penyebaran maklumat palsu di platform media sosial.

"Sekarang pun ada aduan mengenai gambar-gambar poster palsu calon-calon yang tersebar belum lagi masuk ke tempoh pilihanraya, jadi satu mesej yang saya sampaikan untuk dibincangkan bersama syarikat media sosial minggu depan, adalah tindakan penguatkuasaan oleh pihak PDRM dan SPR perlu diberikan keutamaan kerana jika maklumat yang salah berlegar terlalu lama akan mendatangkan pelbagai masalah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar SPM Pelajar Lembah Pantai di MAHSA University di ibu negara.

Tambahnya lagi, pihak PDRM dan SPR perlu mempunyai saluran khas bagi membolehkan tindakan pantas diambil terhadap sebarang kandungan palsu yang tular di platform media sosial.

Langkah itu bukan ditujukan kepada mana-mana parti politik, sebaliknya bertujuan memastikan SPR dan PDRM dapat bertindak segera jika terdapat penyebaran maklumat palsu.

Terdahulu, SPR menetapkan 15 November depan sebagai hari penamaan calon, disusuli 25 November untuk pengundian awal dan 29 November sebagai hari mengundi.

Pilihanraya kali ini bakal menyaksikan sebanyak 73 kerusi dipertandingkan di 25 kawasan Parlimen negeri itu.

SITI NOORAIN ABDULLAH