fb fb fb fb fb

Ibu bapa cadang wujud sistem notifikasi digital kawal akaun media sosial anak

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Cadangan menaikkan had umur penggunaan media sosial kepada 16 tahun disifatkan wajar dan perlu dilaksanakan bagi melindungi remaja daripada pengaruh negatif serta penyalahgunaan dalam talian.

Pakar sosial, Datuk Prof Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, langkah tersebut sesuai memandangkan remaja berusia 16 tahun umumnya telah mencapai tahap kematangan untuk menilai baik dan buruk ketika berinteraksi di alam siber.

“Saya bersetuju jika had umur penggunaan media sosial dinaikkan kepada 16 tahun kerana usia itu menunjukkan tahap pemikiran yang lebih matang.

“Namun, perlu ada mekanisme pengesahan umur bagi mengelak pengguna bawah umur memanipulasi sistem dan terus mengakses platform berkenaan,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa sistem pengesahan umur perlu diwujudkan bagi memastikan hanya pengguna yang layak dibenarkan mendaftar akaun media sosial secara sah dan selamat.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Kasim Muhamad, turut menyokong cadangan berkenaan yang disifatkannya mampu membentuk kawalan digital lebih baik terhadap anak-anak.

Beliau mencadangkan supaya satu sistem notifikasi digital diperkenalkan bagi membolehkan ibu bapa memberi kebenaran sebelum anak mereka mendaftar akaun media sosial.

“Mana-mana anak yang ingin menggunakan media sosial perlulah mendapat kebenaran secara digital daripada ibu bapa.

"Contohnya, satu notifikasi akan dihantar kepada ibu bapa sekiranya anak mendaftar akaun media sosial, dan hanya selepas ibu bapa membuat pengesahan, barulah akaun tersebut boleh diaktifkan,” katanya.

Pada Jumaat, kerajaan dilaporkan bercadang untuk menaikkan had umur pengguna media sosial daripada 13 kepada 16 tahun.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kaedah pendaftaran bagi seseorang individu juga akan dibuat menerusi semakan dokumen rasmi kerajaan.

Cadangan tersebut dibuat susulan kebimbangan yang timbul baru-baru ini membabitkan pelajar sekolah, khususnya berkaitan dengan pengaruh negatif media sosial.

GRACE AISYAH KEDAYAN