KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Lebih 5,000 pengunjung hadir ke sambutan Rumah Terbuka Deepavali MADANI Peringkat Kebangsaan 2025 hari ini di ibu negara.
Rata-rata pengunjung yang hadir ke majlis anjuran bersama Kementerian Digital dan Kementerian Perpaduan Negara itu menzahirkan rasa keterujaan dan bersyukur, apabila sambutan diraikan dalam suasana harmoni dengan dihadiri pelbagai bangsa dan agama.
Sekali gus tema sambutan tahun ini "Cahaya MADANI, Sinar Perpaduan” yang membawa mesej cahaya menjadi simbol utama perayaan Deepavali.
Ia turut melambangkan pencerahan, harapan, dan perpaduan rakyat dalam kerangka Malaysia MADANI, dekat dihati masyarakat.
Antara pengunjung yang hadir Jaggarao Simancha berkata lebih ramai rakyat bukan saja masyarakat Melayu, Cina tetapi masyarakat India juga bersama menyambut dengan Perdana Menteri pada hari ini.
"Perayaan Deepavali ini menjadi lebih meriah dan dapat mengukuhkan semangat silaturahim antara kaum di seluruh Malaysia," katanya.
Seorang lagi pengunjung Kwek Tek Chiang menyatakan kegembiraan apabila kesemua bangsa meraikan bersama-sama pada majlis tersebut.
"Bukan hanya masyarakat India menyambut perayaan ini, malah semua bangsa turut meraikan bersama-sama. Sesuatu yang saya nantikan dalam kehidupan perpaduan di negara ini," kata seorang pengunjung Pasvin Kaun.
