fb fb fb fb fb

PRU DUN ke-15: Polis Kelantan fokus 16 lokasi panas

(Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun)

KOTA BHARU, 10 Julai- Polis Kelantan memberi tumpuan kepada 16 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disifatkan sebagai "kerusi panas" untuk penugasan menjelang Pilihan Raya Umum DUN ke-15.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, selain melakukan tugas biasa, pihaknya juga akan memberi tumpuan di lokasi terbabit bagi mengelak kejadian tidak diingini.

"Kita kenal-pasti 16 lokasi panas seperti Kota Bharu, Machang dan Gua Musang yang diambil kira berdasarkan perlawanan sengit, keadaan penyokong serta sejarah kemenangan calon atau parti di beberapa DUN di kawasan itu.

"Hasil gabungan semua elemen itu, kita kenal pasti 16 DUN panas ini tetapi ia tidak bermakna kawasan lain diabaikan. Kita pantau bermula hari ini dengan melihat bagaimana pendekatan yang digunakan, siapa orang yang perlu dilihat serta beberapa aspek lagi," katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki berkata, setakat ini pihaknya belum lagi menerima sebarang permohonan permit untuk mengadakan ceramah parti politik.

Jelasnya, jika melihat daripada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) baru-baru ini, permit yang dipohon agak menggalakkan namun beliau menjangkakan kali ini, kapasitinya adalah lebih kecil.

"Setakat ini, kalau ada ceramah yang dibuat sekalipun, ia hanyalah dalam bentuk program dan selagi ia membabitkan penerangan kepada ahli serta jentera parti masing-masing, itu tidak menimbulkan apa-apa masalah," katanya.

Terdahulu, Muhamad Zaki ditemui di Kampung Tanjong Mas di Kota Bharu, selepas menziarah pesara polis, Yusof Hussain, 80, di kediamannya sambil menyerahkan Pingat Jasa Negara.


(Muhamad Zaki (kiri) menziarah pesara polis, Yusof Hussain, 80, di kediamannya sambil menyerahkan Pingat Jasa Negara)

Media Baharu