(Foto BERNAMA)
BANGI, 8 Julai- Kerajaan Pakatan Harapan akan berusaha untuk menawan semula Kedah pada Pilihan raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN ke-15) tidak lama lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia berdasarkan prestasi cemerlang yang ditunjukkan kerajaan Selangor yang ditadbir dengan baik oleh Kerajaan Perpaduan.
"Saya hendak bagitahu, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah sebenarnya kubu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). Kita akan tawan semula," katanya dalam ucapan Pelancaran Jelajah Perpaduan Madani di Selangor.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi PH mahu semua jentera parti politik di bawah Kerajaan Perpaduan bekerja keras memastikan kemenangan gabungan itu pada PRU DUN ke-15.
Jelasnya, bagi memastikan kemenangan di Selangor, setiap pendukung PH dan BN perlu mengetepikan perbezaan serta bekerja sebagai satu pasukan.
"Saya hendak bagitahu, calon PH, kita perlu bekerja sepenuh hati, calon UMNO mesti menangkan dengan segala usaha. Kita akan buktikan kepada mereka yang cuba merosakkan perpaduan kita, ini ialah perpaduan. Kerajaan akan kekal kuat di negara ini," katanya.
Beliau berkata kemenangan di Selangor tidak hanya berkisar kepada kejayaan PH dan BN semata-mata, sebaliknya menjadi simbol kepada usaha Kerajaan PerpaduanĀ mengangkat martabat Malaysia kembali disegani di rantau ini.
(Foto BERNAMA)