JOHOR BAHRU, 6 Februari - Barisan Nasional (BN) Johor akan melakukan pembaharuan pada Pilihanraya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Iaitu dengan mewajibkan semua 56 calonnya melantik pegawai media bagi membolehkan setiap calon dapat menyampaikan maklumat terutama isu semasa kepada pengundi dengan lebih berkesan.
Ketua Penerangan UMNO Johor Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, langkah itu juga akan memudahkan pengundi selain media mendapat maklumat segera daripada calon teruatama apabila timbul isu berbangkit.
Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata pihaknya juga yakin Prosedur Operasi Standard (SOP) yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada PRU Johor juga akan membantu mengekang penularan jangkitan COVID-19 di negara ini.
"Kita lebih yakin kali ini dengan adanya vaksin yang diberikan sebagai pelindung pihak berkuasa mengendalikan SOP ni juga, SPR tentu sekali akan melindungi pengundi-pengundi itu daripada terjejas dengan jangkitan," kata Adham selepas Majlis Bersama Pengamal Media di sini.
PRU DUN Johor bakal diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada 22 Januari lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka mengumumkan tarikh pilihan raya berkenaan selepas Mesyuarat Khas, Rabu ini.