fb fb fb fb fb

PRU DUN: BN Negeri Sembilan akan umum calon awal

(FOTO RTM)

SEREMBAN, 12 Julai - Barisan Nasional Negeri Sembilan akan mengumumkan senarai calon yang bertanding pada PRU DUN negeri itu dalam masa terdekat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata senarai calon sudah dihantar kepada Presiden Parti untuk disaring dan dipertimbangkan.

"Calon yang dikemukakan adalah gabungan muka lama dan baharu.

"Paling penting adalah calon berwibawa dan sedia berkhidmat untuk rakyat.

"Saya meneliti kekuatan dan kemampuan setiap calon sebelum disenarai pendek untuk dihantar kepada Presiden", katanya ketika ditemui media pada Majlis Ramah Mesra Bersama Kepimpinan Masyarakat Orang Asli Negeri Sembilan di sini.

Tambahnya permohonan parti itu untuk mendapatkan dua kerusi tambahan belum dimuktamadkan dan dijangka akan diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Terdahulu media melaporkan BN di negeri itu ditawarkan 16 kerusi DUN namun membuat permohonan untuk tambahan dua kerusi lagi membolehkan kedudukan sama rata antara BN dan Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Jalaluddin menjelaskan UMNO Negeri Sembilan sedia bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang selepas MIC mengumumkan tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan DUN (PRU DUN Ke-15) kali ini.

Jalaluddin berkata pihaknya akan berbincang dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenainya sebelum keputusan dimuktamadkan.

"UMNO bersedia untuk menghantar atau pun memilih calon dalam kalangan pimpinan UMNO. Jika ini dipersetujui oleh presiden dan pimpinan BN, maka kita ada beberapa calon yang bakal kita pertaruhkan di Jeram Padang," katanya.

Terdahulu media melaporkan MCA dan MIC mengumumkan tidak akan bertanding pada PRU DUN ke-15 di keenam-enam negeri terlibat pada bulan hadapan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) lalu , Pakatan Harapan (PH) menguasai 20 kerusi manakala Barisan Nasional 16 kerusi.


(Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias)

Media Baharu