fb fb fb fb fb

Kes kanak-kanak mati lemas, guru taska mengaku tidak bersalah

IPOH, 12 Julai- Seorang guru taska dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan cuai sehingga menyebabkan kanak-kanak di bawah jagaannya mati lemas, April lalu.

Tertuduh, Esther Christina Samuel Ponniah, 58 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Mengikut kertas pertuduhan, beliau didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas V. Thanes Nair, 4 tahun, telah meninggalkan kanak-kanak itu tanpa pengawasan dan pemeliharaan untuk satu tempoh yang tidak berpatutan.

Kesalahan itu dilakukan di kolam renang di The Centro Club, Jalan Sri Klebang 2, Bandar Baru Sri Klebang di dalam daerah Ipoh pada pukul 10.20 pagi, 17 April 2023.

Pertuduhan terhadap wanita itu dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Syahirah Azahar mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula.

Sebelum ini, media melaporkan pada 23 April lalu, seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia setelah tujuh hari dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Kejadian terjatuh ke dalam kolam renang taska itu berlaku pada hari pertama ibu mangsa menghantar anaknya ke pusat jagaan berkenaan.


(Kejadian terjatuh ke dalam kolam renang taska itu berlaku pada hari pertama
ibu mangsa menghantar anaknya ke pusat jagaan berkenaan)

Media Baharu