fb fb fb fb fb

PRPNM-Perlis perkukuh pemeliharaan warisan intelek negara

Foto Kementerian Perpaduan Negara

KUALA PERLIS, 22 Mei- Pusat Repositori Perpustakaan Negara Malaysia-Perlis (PRPNM-Perlis) diwujudkan bagi memelihara bahan ilmu dan warisan negara untuk kegunaan generasi akan datang.

Bangunan seluas 6,802 kaki persegi itu dibina dengan kos hampir RM2.83 juta.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pusat tersebut akan berperanan sebagai Pusat Penyimpanan Luar Koleksi Negara Zon Utara, yang turut memperkukuh usaha pemeliharaan warisan intelek dan budaya negara.

"Masyarakat di negeri-negeri ini akan berpeluang menikmati sumber maklumat yang kaya dan pelbagai bagi tujuan pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan ilmu.

"Kedua, ianya akan membantu Perpustakaan Negara Malaysia dalam memelihara khazanah warisan intelek negara dan bangunan ini akan berfungsi sebagai pusat simpanan yang kondusif dan sistematik untuk memastikan bahan-bahan intelektual, bahan-bahan sejarah dan bahan-bahan budaya negara kekal terpelihara untuk rujukan generasi kini dan akan datang", katanya.

Beliau berucap demikian sempena Perasmian PRPNM-Perlis di Kuala Perlis, Perlis.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Selain itu, Datuk Aaron turut menyatakan bahawa pusat itu mempunyai potensi untuk menjadi tarikan pelancongan baharu, sekali gus merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi negeri, khususnya dalam bidang perkhidmatan dan kebudayaan.

Bangunan tersebut mula dibina pada 25 Oktober 2022 dan siap sepenuhnya pada April 2024.

Pembinaan PRPNM-Perlis juga menyokong Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331) dengan memberi akses lebih luas kepada masyarakat terhadap bahan bacaan ilmiah dan warisan.

ROSLINA BINTI DIN