KUALA LUMPUR, 22 Mei- Tourism Malaysia giat mempromosi pelancongan negara secara kreatif sebagai usaha mempromosi kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).
Ke arah itu, hadiah keseluruhan sebanyak RM400,000 ditawarkan untuk penganjuran Malaysia Photo Hunt 2025, iaitu sebuah pertandingan foto dan video bertemakan pelancongan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan menyifatkan pertandingan itu sebagai inisiatif berimpak tinggi untuk mempromosi pelancongan negara.
"Ia adalah salah satu program promosi untuk menggalakkan pelawat domestik dan antarabangsa mempromosi keindahan Malaysia melalui foto dan video di saluran media sosial mereka dengan slogan ‘Malaysia Welcomes the World," kata Khairul Firdaus menerusi satu kenyataan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Mohd Yusry Mohd Yusoff berharap pertandingan Malaysia Photo Hunt 2025 dapat menarik kedatangan pelancong memandangkan ia menawarkan nilai hadiah yang agak besar.
"Pertandingan ini bukan sahaja untuk menarik pelancong, malah juga untuk meraikan mereka. Seperti yang kita tahu pelancong suka ambil gambar, jadi pertandingan ini beri ruang untuk mereka kongsi pengalaman. Harapnya, lebih ramai pelancong akan datang lepas ni," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media, dekat sini, hari ini.
Sebagai rekod, Malaysia Photo Hunt 2025 akan berlangsung bermula pada 1 Jun hingga 31 Ogos 2025.
Ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia, pemastautin asing, serta pelawat antarabangsa.
Pertandingan itu hanya memerlukan peserta perlu merakam keindahan destinasi pelancongan di Malaysia dengan menggunakan kamera dan telefon pintar serta menghantar penyertaan secara dalam talian.
Hasil karya terbaik akan dipamerkan dalam kempen khas menjelang VM2026.
Inisiatif itu disokong pelbagai jenama teknologi dan industri pelancongan bagi menjadikannya antara pertandingan terbesar di Malaysia.