SHAH ALAM, 22 Mei - Lesen syarikat pengangkutan yang gagal memastikan kenderaan mereka selamat untuk beroperasi di atas jalan raya disaran supaya dibatalkan atau digantung.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) , Muhammad Kifli Ma Hassan berkata perkara itu dicadangkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) selepas mendapati berlaku peningkatan kes kemalangan membabitkan kenderaan berat.
Katanya semakin banyak kes syarikat pemilik atau pengusaha kenderaan berat gagal memperbaharui cukai jalan, tidak mempunyai perlindungan insurans sah dan mengabaikan pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
''Pasukan khas JPJ Malaysia telah melaksanakan penguatkuasaan dan berdasarkan risikan yang telah dilakukan selama 2 minggu dan pihak kami telah dapat membuat tangkapan terhadap 3 buah lori yang mana ketiga-tiga buah lori tersebut cukai jalan telah tamat tempoh lebih dari 5 tahun. Di mana kita telah mengesyorkan kepada pihak APAD sebanyak 15 buah lori untuk dibatalkan permit berkenaan, terdapat 513 untuk kita syorkan gantung lesen pengendali atau permit berkenaan dan sebanyak 28 untuk tindakan amaran '' katanya pada sidang media di Stesen Penguatkuasa JPJ Elmina di sini, hari ini.
"Sejak tahun 2022 hingga 2024, JPJ telah menyita sebanyak 2,696 buah lori dan untuk tahun ini sahaja, sejumlah 365 buah lori telah disita setakat April lepas atas pelbagai jenis kesalahan seperti lebih muatan dan tidak selamat untuk beroperasi di jalan raya. "
Beliau berkata daripada keseluruhan 3,061 lori yang disita, 135 daripadanya adalah di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Jalan 1987, tujuh dilucutkan hak di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 manakala selebihnya masih disiasat.