PUTRAJAYA, 22 Mei – Kenderaan elektrik (EV) pertama keluaran tempatan, Proton e.MAS 7 secara rasmi diumumkan sebagai kereta rasmi Malaysia sempena Kepengerusian ASEAN 2025, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam industri automotif negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya memaklumkan beliau telah memandu uji Proton e.MAS 7 di sekitar kawasan pejabatnya.
Menurut beliau, model EV tersebut merupakan simbol kemajuan teknologi negara serta mencerminkan keyakinan terhadap kebolehan anak tempatan dalam menerajui masa depan industri automotif nasional.
“Pemilihan ini bukan sahaja mencerminkan kemajuan teknologi tempatan, tetapi juga keyakinan terhadap kebolehan anak tempatan dalam menerajui industri automotif masa hadapan,” katanya.
Proton e.MAS 7 bakal digunakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat, sekali gus menyokong usaha negara ke arah pelepasan karbon sifar bersih dan agenda peralihan tenaga hijau di bawah kerangka Malaysia MADANI.
Dalam kenyataan sama, Datuk Seri Anwar turut menyeru semua pihak untuk terus menyokong inovasi tempatan, demi membina masa depan negara yang lebih lestari, berdaya saing dan berteknologi tinggi.