GOPENG, 21 Mei- Kerajaan Perak akan menyalurkan bantuan tambahan kepada waris dan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terbabit dalam kemalangan maut di Teluk Intan, minggu lepas.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak Datuk Salbiah Mohamed berkata perincian mengenai bantuan itu akan diumumkan Menteri Besar Saarani Mohamad dalam masa terdekat.
"Kita tahu bukanlah satu perkara yang mudah apabila kehilangan orang secara tiba-tiba. Justeru itu, semalam saya bersama Timbalan Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat turun padang bagi menyampaikan sumbangan menerusi Yayasan Kebajikan Negara serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Selain itu, dari semasa ke semasa, pihak Jabatan Psikologi akan terus berjumpa dengan waris mangsa bagi memastikan mereka berada dalam keadaan emosi yang stabil", katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelepasan Kontena Produk Usahawan ke Pameran ‘Consumer Fair & Trade Expo 2025’ Brunei di Gopeng, Perak.
Dalam kejadian 8.50 pagi, 13 Mei lalu, sebuah trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam, Ipoh bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu kerikil di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan.
Lapan anggota maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Teluk Intan (HTI), sementara sembilan lagi mengalami kecederaan.