fb fb fb fb fb

Dua maut, lima cedera kemalangan kereta dan pikap

Dua lelaki warga emas maut manakala lima lagi cedera ringan dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah kenderaan pikap di Jalan Kampung Kuala Slim, Slim River / Foto RTM

SLIM RIVER, 22 Mei – Dua lelaki warga emas maut manakala lima lagi cedera ringan dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah kenderaan pikap di Jalan Kampung Kuala Slim, di sini, pada Rabu.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad kejadian berlaku sekitar pukul 8.19 malam.

Kedua-dua mangsa yang maut merupakan pemandu dan penumpang kereta, masing-masing berusia 73 tahun dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

Sementara itu, pemandu kenderaan pikap, seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun, serta empat penumpangnya yang merupakan warga asing, hanya mengalami kecederaan ringan.

Lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River bersama dua jentera telah digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada pukul 8.51 malam, dan kesemua mangsa telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN