KUALA LUMPUR, 18 Ogos- Proses pertuduhan ke atas lima suspek yang terlibat dalam kes buli Allahyarhamah Zara Qairina sama sekali tidak akan menjejaskan inkues yang akan berlangsung September depan.
Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr. Azmi Hassan berkata proses inkues dilaksana lebih kepada tujuan mengenal pasti punca berlakunya kes buli secara mendalam dan lebih menyeluruh.
"Inkues itu diadakan untuk menyelidik dengan lebih mendalam mengapa perkara ini boleh berlaku dan mengapa ia dibiarkan walaupun arwah Zara pernah membuat aduan. Jadi, inkues ini dianggap lebih menyeluruh," kata Profesor Dr. Azmi secara eksklusif kepada Berita RTM, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas 195 saksi membawa kepada proses pertuduhan tersebut.
“Proses awal ini bertujuan menyekat penyebaran berita tidak benar, khususnya dakwaan bahawa PDRM tidak mengambil tindakan terhadap kes yang begitu sensitif.
Bagi saya, perkara ini wajar disokong kerana proses undang-undang adalah penting dan ia perlu berlandaskan fakta, bukan emosi atau apa yang ditularkan di media sosial," tegasnya.
Tambah beliau, fokus semasa kes adalah untuk mengetahui bentuk pertuduhan yang bakal dikenakan terhadap kelima-lima suspek yang terlibat dalam kes buli, yang mengakibatkan kematian Allahyarhamah Zara Qairina.