KUALA LUMPUR, 18 Ogos - Kerajaan telah memulakan proses semakan dan pindaan Akta Penempatan Berkelompok 1960 (Akta 530) sejak September 2022 melalui penglibatan beberapa siri mesyuarat penyelarasan, diikuti mesyuarat jawatankuasa teknikal, bengkel serta empat sesi libat urus bersama pihak berkepentingan sepanjang tahun 2024.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata lima hala tuju utama diberi fokus dalam pindaan tersebut merangkumi sumbangan kepada dasar negara, pelindungan kepentingan pemilikan tanah, pemantapan tadbir urus, memenuhi keperluan generasi baharu FELDA serta memperkasa akta agar kekal relevan.
"Pihak FELDA telah menetapkan pelaksanaan perumahan secara sistematik melalui garis panduan dan terma rujukan lot generasi 2022 dan 2024 FELDA juga telah mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkuasa tempatan dan pihak berkuasa negeri bagi memastikan kawalan pembangunan di dalam kawasan FELDA lebih tersusun dan mempunyai infrastruktur yang yang baik", katanya semasa sesi perbahasan bagi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat
Tambahnya, kerajaan melalui Bahagian Kawal Selia FELDA, Jabatan Perdana Menteri komited menangani pelbagai isu penempatan berkelompok termasuk berkaitan pemilikan rumah generasi kedua dan ketiga.
Mengenai isu tenaga kerja pula, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, FELDA turut berdepan dengan cabaran isu berkenaan apabila hanya diperuntukkan kuota pengambilan 300 pekerja asing pada Julai tahun lalu dan kuota itu telah dipenuhi sepenuhnya pada Mac hingga Julai tahun ini.
Setakat ini, jumlah keseluruhan pekerja ladang FELDA seramai 12,587 orang, dengan pengambilan pekerja dilaksanakan melalui FELDA Plantation Management Berhad.
Bagi menarik minat tenaga kerja tempatan, FELDA melaksanakan beberapa langkah proaktif termasuk menawarkan gaji minimum RM1,700 dengan pelbagai elaun termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta perlindungan insurans.