KUALA LUMPUR, 18 Ogos - Kestabilan politik merupakan asas penting dalam menjayakan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook menegaskan pentingnya kerjasama erat antara pemimpin negeri dan persekutuan bagi memastikan aspirasi rakyat dapat direalisasikan secara menyeluruh dan inklusif.
Menurutnya, pertemuan penuh makna antara Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Panglima Hajiji Noor hari ini berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh semangat kebersamaan.
Pertemuan itu turut mencerminkan kematangan politik serta iltizam untuk memperkukuh kerjasama demi kestabilan negara, khususnya dalam konteks hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah.
Perdana Menteri berharap agar semangat muafakat yang terjalin akan terus menjadi asas kepada perpaduan nasional yang lebih kukuh, demi masa depan Malaysia yang progresif, adil dan sejahtera.