PUTRAJAYA, 26 Mac - Permohonan kewarganegaraan akan diproses dan diluluskan dalam masa setahun, setelah pindaan perlembagaan diluluskan kelak, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Bagaimanapun beliau berkata perkara tersebut tertakluk dokumentasi yang lengkap bertujuan kelancaran permohonan.
Katanya, setiap permohonan yang ditolak juga akan disertakan penjelasan punca kenapa ianya ditolak.
“Bila pindaan ini lulus, kami harap lulus lah. Permohonan warganegara selepas ini ialah permohonan yang akan diberitahu keputusannya dalam masa setahun. Ini komitmen kami," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Khas bersama Pengurusan Tertinggi Kementerian dan Media di sini pada Isnin.
Pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai undang-undang kewarganegaraan dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin.