SHAH ALAM, 29 Julai- Proses penamaan calon di Selangor hari ini terkawal dan berjalan lancar.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, seramai 6,998 petugas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor ditugaskan di 43 lokasi Pusat Penamaan Calon (PPC) tersebut hari ini.
Beliau menjelaskan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan bagi negeri Selangor membabitkan 147 calon yang bertanding.
Pecahan parti-parti melibatkan 12 calon daripada Barisan Nasional (BN), 44 calon Pakatan Harapan (PH), 56 calon Perikatan Nasional (PN), 14 calon Parti Muda, 10 calon parti Bebas, empat calon Parti Sosialis Malaysia dan satu calon daripada Parti Utama Rakyat.
"Seramai 19,103 penyokong daripada pelbagai parti telah hadir di pusat-pusat penamaan calon tersebut.
"Kesemua calon bertanding diingatkan tidak menyentuh isu 3R di sepanjang tempoh berkempen.
"Kempen dan ceramah yang hendak diadakan mestilah memohon permit ceramah daripada ketua polis daerah masing-masing mengikut prosedur yang ditetapkan.
"Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan sebarang provokasi yang boleh menganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam," katanya menerusi kenyataan.
(Beliau menjelaskan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan bagi
negeri Selangor membabitkan 147 calon yang bertanding.)