fb fb fb fb fb

Kerjasama maritim Malaysia-Indonesia-Singapura tingkat keselamatan perairan

JOHOR BAHRU, 29 Julai- Kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA) dan Polis Pengawal Pantai Singapura (SPCG) dapat meningkatkan pertahanan di perairan Selat Melaka dan Laut China Selatan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata persefahaman bersama rakan strategik dapat mempercepat proses koordinasi, terutama melibatkan operasi pencarian.

"Kerjasama secara latihan itu banyak. Kita buat secara optimum, rapi bersama. Dengan aset-aset BAKAMLA, kita ada (misi) mencari dan menyelamat Malindo. Begitu juga dengan pihak Singapura, kita ada membuat pertemuan kapal dan bot daripada aset Singapura dan Malaysia di persekitaran perairan Selat Melaka setahun dua kali. Malindo kita buat bersama setahun sekali," kata beliau.

(Laksamana Muda Maritim Aminuddin berkata persefahaman bersama rakan strategik dapat
mempercepat proses koordinasi, terutama melibatkan operasi pencarian)

Sementara itu, Kepala BAKAMLA, Laksamana Madya TNI Doktor Aan Kurnia berkata, sebagai negara jiran ketiga-tiga negara perlu mengeratkan hubungan supaya lebih mudah untuk menjaga dan menghormati keudalatan negara masing-masing.

"Selain itu kita melaksanakan perkongsian maklumat jadi saling berbagi informasi tentang situasi keamanan laut dan saya menghormati kedaulatan Malaysia, saya menghormati kedaulatan Singapura dan kita semua saling menghormati dan saling membantu," kata beliau.

Bagi Komander Polis Pengawal Pantai Singapura, SAC Cheang Keng Keong pula, kerjasama tersebut penting bagi menangani isu jenayah di kawasan perairan.

"Jadi saya amat gembira, kerjasama yang sangat berjaya dengan APMM dan BAKAMLA. Diharap kita dapat bekerjasama pada masa hadapan untuk meningkatkan keselamatan komuniti maritim di wilayah ini," katanya.

Terdahulu, APMM menerima penghargaan daripada BAKAMLA susulan kerjasama menahan sebuah kapal tangki berdaftar dari Iran disyaki melakukan pemindahan minyak mentah secara haram bernilai RM1.4 bilion di perairan Indonesia, pada 7 Julai lalu.

Media Baharu