fb fb fb fb fb

Adly yakin tidak wujud sabotaj undi pada calon DUN Paroi

(Akar umbi hadir memberi sokongan kepada calon DUN Paroi Norwani Ahmat)

SEREMBAN, 29 Julai - Pengundi dan Penyokong Pakatan Harapan (PH) tidak akan memboikot calon Dewan Undangan Negeri Paroi menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN ke-15) pada 12 Ogos ini.

Naib Presiden Parti Amanah Adly Zahary berkata meskipun terdapat pelbagai isu ketidakpuasan hati berkenaan pencalonan di DUN itu, namun beliau yakin sifat mempertahankan Kerajaan Perpaduan utuh dalam setiap ahli.

"Saya tahu ada yang tidak puas hati (berkaitan pemilihan calon) tetapi semangat mengutamakan (parti) Amanah, PH dan Kerajaan Perpaduan lebih besar untuk kekal memimpin negara.

"Sebenarnya kita memberi peluang kepada calon-calon wanita dalam (parti) Amanah, jadi kita mengambil kira secara keseluruhan di seluruh 31 DUN, jadi kita mahu potensi wanita ini diangkat.

"Kita melihat ramai potensi calon wanita, tahu latar belakang dan komiten dia (Norwani) dengan parti sebab itu kita memilih beliau (Norwani)," katanya ketika ditemui selepas penamaan calon DUN Paroi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada akan wujud situasi boikot undi terhadap calon DUN Paroi iaitu Ketua Wanita Amanah Negeri Sembilan, Norwani Ahmat.


(Penyandang kerusi Mohamad Taufek Abd Ghani (kiri) dan Naib Presiden Parti Amanah Adly Zahary (kanan)/FOTO FB Adly Zahary

Terdahulu, media melaporkan 15 ketua cawangan Amanah menolak calon DUN Paroi kerana penyandang kerusi Mohamad Taufek Abd Ghani tidak dicalonkan kembali untuk bertanding kali ini.

Malah mereka turut memberi isyarat tidak akan keluar mengundi sekiranya Mohamad Taufek tidak dicalonkan.

Dalam pada itu, penyandang kerusi N.25 Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani menyokong penuh calon baharu Norwani Ahmat yang bertanding di DUN itu pada PRU DUN kali ini.

"Soal tidak menjadi calon bukan isu besar, apa yang penting kita bekerja keras untuk memastikan calon yang dipilih kepimpinan tertinggi parti adalah calon terbaik untuk menang PRN nanti," katanya.

DUN Paroi menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PH, Norwani Ahmat, Calon Perikatan Nasional, Kamarol Ridzwan Mohd Zain dan Parti Bebas Muhammad Syakir Fitri Sadri.

Sebagai rekod, Mohamad Taufek merupakan penyandang DUN Paroi pada 2008 hingga 2013 atas tiket PAS dan kekal ADUN sejak 2018 menerusi Amanah.

 

Media Baharu