KUALA LUMPUR, 21 Januari - Budaya pemakanan yang begitu signifikan dengan masyarakat Malaysia pelbagai latar belakang, perlu dipromosikan secara lebih kreatif dan inovatif dalam memasarkan industri pelancongan negara ke tahap lebih baik.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata sektor pelancongan tidak hanya tertumpu pada destinasi menarik, tetapi juga aspek adat, budaya dan pemakanan.
Sehubungan itu, produk tempatan terutama yang mewakili budaya sesuatu kaum dan etnik perlu dipromosikan secara langsung kepada pelancong.
Katanya, promosi budaya pemakanan berjaya menjana pendapatan berjumlah RM11.2 juta pada 2018 dan seterusnya meningkat kepada RM11.4 juta pada 2019.
"Sebab itu komponen makanan ini adalah amat penting sektor pelancongan kerana untuk orang kata datang ke Malaysia ini dia nak melihat bukan sahaja melihat tempat yang indah dari segi adat, budaya makanannya semua komponen ini memainkan peranan yang begitu penting sekali.
"Sebab itu kita melihat kreativiti dan inovasi amat penting maka sebab itu kita melihat kreativiti dan inovasi amat penting," kata Nancy selepas merasmikan Kedey Kamek cawangan ke-6 di sini.
Restoran tempatan yang bermula di Miri itu mengetengahkan menu makanan utama negeri Sarawak seperti Laksa Sarawak dan Mee Kolok.
Tambah Nancy, meski terkesan akibat pandemik COVID 19 selama hampir 2 tahun, namun dengan promosi pelancongan pemakanan, sektor pelancongan mampu bangkit semula ke arah pemulihan.