PUTRAJAYA , 21 Januari - Seramai enam tokoh negara menerima watikah pelantikan sebagai ahli Jawatankuasa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) hari ini.
Antaranya; bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman; Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif; Pengasas RHB Group, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Bekas Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid.
Turut menerima watikah; Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muāadzam Shah (Unishams), Profesor Dr. Asmadi Mohamed Naim dan Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon.
Watikah pelantikan diserahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad dan timbalan menteri, Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Idirs menerusi kenyataan Facebook berkata, penubuhan RCI itu adalah hasrat pelbagai pihak.
Setatus Tabung Haji sebagai institusi kewangan Islam yang lama di tanah air perlu dijaga dan dipertahankan.
"Dengan izin Allah SWT, kita menyerahkan watikah pelantikan kepada ahli anggota RCI TH hari ini. Saya berdoa agar Allah SWT memberikan kebaikan dan memandu setiap gerak dalam memikul amanah yang cukup besar dan berat ini serta memberikan kebaikan kepada kita semua.
"Patik menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan penubuhan RCI bagi menyiasat isu-isu pengurusan dan operasi TH," katanya.