fb fb fb fb fb

Penduduk lega, jambatan sementara di Kampung Bemban siap



SEREMBAN, 21 Januari-
Penduduk di Kampung Bemban, Simpang Durian, Jelebu menghela nafas lega apabila pembinaan jambatan sementara, Compact Bailey Single Lane (CB 200) di Sungai Teriang bagi menghubungkan kampung tersebut siap sepenuhnya.

Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Mejar Jeneral, Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, projek pembinaan jambatan tersebut bagi menggantikan jambatan yang telah roboh akibat banjir sebelum ini.

Jelas beliau, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Tentera Darat Malaysia telah mengatur gerak tiga pegawai serta 56 anggota dari Skuadron Ke-8 Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan Ke-9 RAJD dengan kerjasama kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Jambatan ni sebenarnya bersifat sementara, bukan jambatan kekal, kalau tengok boleh buka dan pasang tempat lain dan jambatan ini bukan hanya ada di sini, malah tahun lepas, kita pasang di Pahang ketika banjir dan berada dalam simpanan JKR dan tentera," katanya.

Sementara itu, lebih 130 penduduk di Kampung Bemban bersyukur apabila jambatan yang menghubungkan kampung mereka itu telah siap.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih atas setiap sumbangan pelbagai pihak yang tak dapat saya sebut, pihak tentera dan JKR khususnya untuk jambatan sementara ini bagi memudahkan penduduk di sini keluar masuk dan hantar anak sekolah dan bawa hasil pertanian," kata Mohd Sahat Harun, salah seorang penduduk.

"Saya memang memerlukan jambatan ini, sebab saya bekerja malam, susah bila kita ikut jalan keluar ladang ini yang licin, syukur terima kasih kepada semua yang buat jambatan ni," kata seorang lagi penduduk, Rafi Zainuddin.

Jambatan yang menghubungkan Kampung Bemban dan Kampung Jerang itu adalah sepanjang 18 meter dengan lebar 4.3 meter. 

Ia merupakan sebahagian Projek Jiwa Murni ATM, selaras dengan Teras Kementerian Pertahanan serta Tonggak Ke-5, Perintah Ulung Panglima Tentera Darat iaitu meningkatkan kerjasama ATM dan Tentera Darat bersama dengan agensi awam serta rakyat. 

Media Baharu