KUALA LUMPUR, 21 Januari- Selaras usaha mempromosi sambutan Jubli Emas Bandaraya Kuala Lumpur juga bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan tidak lama lagi, program konvoi 'Golden Ride KL - Arau 2022' dianjurkan Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Wilayah Persekutuan.
Sebagai simbolik 50 buah motosikal berkuasa tinggi terlibat membawa hebahan dan maklumat serta memperkenalkan Logo Jubli Emas sepanjang destinasi konvoi.
Konvoi yang diketuai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias itu akan berakhir Ahad ini.
"Ini adalah satu program yang boleh merapatkan hubungan pimpinan masyarakat di sekitar wilayah kuala lumpur dan juga bersama dengan persatuan-persatuan ngo dan juga pegawai kementerian serta dbkl .kita membawa satu persepsi, juga pandangan masyarakat untuk kita libatkan secara terus bersama masyarakat di negeri-negeri lain," katanya pada majlis pelepasan konvoi pagi tadi.
Jalaluddin berkata, program itu bakal diteruskan di negeri-negeri kawasan selatan juga Pantai Timur.
"Peserta konvoi juga akan singgah di beberapa lokasi di Perlis, Pulau Pinang dan Perak untuk aktiviti kebajikan, membantu golongan asnaf dan golongan B40," katanya.
Peserta konvoi memulakan perjalanan pagi tadi selepas majlis pelepasan; dirasmikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.