fb fb fb fb fb

28 kakitangan PSA terjejas banjir terima bantuan wang tunai dan keperluan harian

FOTO PSA

KUALA LUMPUR, 21 Januari - Seramai 28 pegawai dan kakitangan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) yang terjejas banjir pada Disember lalu menerima sumbangan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Mereka menerima wang tunai, makanan dan barang keperluan harian sempena Majlis PSA Prihatin: Program Sumbangan Pasca Banjir yang diadakan di Anjung Bestari, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Selain YaPEIM, Koperasi, Kelab Kebajikan Kakitangan dan Pusat Islam PSA turut memberikan sumbangan.

Timbalan Pengarah PSA, Ts. Roseman Mat Jidin ketika berucap mewakili Pengarah, Dr. Mohd Zahari Ismail berkata, PSA terpanggil untuk menghulurkan bantuan dengan membuka Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang beroperasi sejak hari pertama banjir pada 18 Disember hingga 26 Disember 2021 dengan jumlah keseluruhan mangsa seramai 482 orang.

"Pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan serta orang awam turut memberikan sumbangan. Kita juga menerima sokongan yang padu daripada seluruh politeknik dan kolej komuniti dengan memberikan bantuan sama ada kewangan, keperluan harian, peralatan mahupun tenaga kerja," Katanya.

Sementara itu Pengurus YaPEIM Negeri Selangor, Che Nor Azila Che Ghani berkata, berdasarkan rekod seramai 161 kakitangan PSA membuat sumbang secara tetap setiap bulan ke dalam tabung YaPEIM menerusi Skim Potongan Gaji (SPG).

“Pihak YaPEIM amat berterima kasih kepada para penyumbang selain dana korporat yang membolehkan program-program YaPEIM digerakkan dalam membantu mereka yang memerlukan di seluruh Malaysia,” katanya.

Program menyantuni mangsa banjir merupakan sebahagian daripada program PSA Prihatin: We Care We Share bertujuan membantu dan meringankan beban mereka yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.

Antara inisiatif yang diambil termasuk melaksanakan operasi menyelamat dan menyalurkan bantuan kepada kakitangan, pelajar dan komuniti setempat di kawasan terjejas bencana.

Pada program itu, turut diadakan gotong-royong pembersihan, memperbaiki kerosakan serta mengagihkan barangan keperluan asas, makanan dan wang tunai.

Program ini sejajar dengan Misi Bantuan Bencana Banjir PolyCC Malaysia yang digerakkan oleh politeknik dan kolej komuniti seluruh negara menerusi inisiatif KPT Prihatin oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

Media Baharu