fb fb fb fb fb

ProMKeSK Pendidikan Khas Melaka lahirkan modal insan berdikari

AYER KEROH, 23 Mei- Kadar kebolehpasaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) di Melaka mencecah 78.4% tahun lalu.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Negeri, Md Aziz Lani menjelaskan, kebolehpasaran terbahagi kepada tiga kategori iaitu bekerja sendiri, majikan atau menyambung pelajaran.

Program Memacu Kecemerlangan Saluran Kerjaya (ProMKeSK) Pendidikan Khas Negeri Melaka misalnya berupaya menghasilkan modal insan yang berkemahiran bekerja dan mampu berdikari.

MBPK yang layak dan berjaya diberi Sijil Kemahiran (SKM) Tahap 2 oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) mengikut bidang seperti pembuatan roti, pastri dan pembuatan serta penyediaan makanan.

Latihan amali dijalankan di enam buah Pusat Penilaian Amali (PPA) iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Keroh, SMK Air Molek, SMK Ade Putra, SMK Datuk Bendahara, SMK Sungai Udang dan SMK Tun Tuah.

(Md Aziz berkata ProMKeSK Pendidikan Khas Melaka lahirkan modal insan berdikari)

"Jadi tempoh dari Tingkatan 2 hingga Tingkatan 5 itu dia boleh diuji pada bila-bila masa selepas umur 17 tahun kalau dia sudah kompeten kita bagi dia peluang untuk penilaian.

"Kalau mereka berjaya kita akan bagi mereka sijil. Jadi selepas itu kalau dia boleh terus masuk ke pasaran buruh kita akan masukkan ke pasaran buruh. Tetapi kalau mereka hendak meneruskan pembelajaran hingga umur 19 tahun hendak ambil SPM pun tidak ada masalah," kata Md Aziz selepas Majlis Graduasi Program Memacu Kecemerlangan Saluran Kerjaya (ProMKeSK) Pendidikan Khas Negeri Melaka 2022/2023 melibatkan 53 MBPK di MITC, di sini.

"Yang mana ada kemampuan untuk akademik mereka akan terus dengan sijil SPM mereka. Kita bagi peluang banyak kepada murid-murid berkeperluan khas, jadi mereka boleh ada dua sijil. Dia ada SKM dan SPM kalau mereka berkemampuan," tambahnya.

'Rasa gembira ,tidak percaya juga sebab dulu banyak main-main juga. Nanti ada rancangan dengan pakcik-pakcik untuk berniaga roti," kata pelatih terbaik, Aqil Firdaus Abdullah

"Sudah belajar lama, teruja sangat. Tidak sangka hendak dapat. Saya bersyukur dapat buktikan saya boleh berjaya," luah seorang lagi pelatih terbaik, Norin Najwa Saman.

Media Baharu