JOHOR BAHRU, 25 Februari - Tindakan wajar dan pantas diambil dalam menyelesaikan isu projek terbengkalai atau 'projek sakit' khususnya melibatkan Projek Perumahan Pakyat (PPR ) di negara ini.
Ia mengambil kira tatacara pentadbiran kontrak lebih sistematik dan penamatan kontrak selain melantik kontraktor penyelamat agar boleh disiapkan segera.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, langkah-langkah menyeluruh dan kemungkinan meminda akta berkaitan turut dilakukan bagi mengelakkan perkara sama berulang pada masa hadapan.
"Tidak mahu lagi perkara ini berlaku pada masa hadapan. Saya juga perlu melihat dari segi melakukan pindaan Akta 118 supaya jaminan kepada pembeli-pembeli dapat diberi dengan sebaiknya. Tetapi tidak semua pemaju mampu melakukannya. Bagaimanapun kita akan bergerak supaya akhirnya penyediaan untuk pembinaan perumahan dengan baik," kata Reezal selepas meninjau projek perumahan rakyat Masai di sini.
PPR berkenaan sepatutnya siap 21 Februari tahun lalu namun berdepan masalah pemaju yang gagal menyiapkannya mengikut jadual sebenar.
Proses pembinaan kini hanya tinggal 23 peratus sahaja dan KPKT menjangkakan akan siap pada bulan Jun tahun hadapan dengan kos menyiapkannya meningkat kepada RM12 juta.