fb fb fb fb fb

PM tiba di Thailand untuk lawatan rasmi tiga hari

BANGKOK, 25 Februari - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, membuka tirai lawatan rasmi ke Thailand dengan majlis perjumpaan Keluarga Malaysia.

Kira-kira 100 rakyat Malaysia yang hadir, terdiri pegawai-pegawai kedutaan dan pasangan, Ahli Kelab Malaysia-Thailand, Ahli Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC), pegawai tentera yang sedang menjalani kursus pertahanan dan wakil pelajar Malaysia yang menuntut di negara itu.

Dianggarkan seramai 5,000 keluarga Malaysia yang menetap di seluruh Thailand, namun hanya 1,018 yang mendaftar secara rasmi dengan Pejabat Kedutaan Besar Malaysia.

Lawatan Rasmi Perdana Menteri amat signifikan untuk mengeratkan hubungan dengan kepimpinan kerajaan Thailand dan mengukuhkan hubungan diplomatik kedua-dua negara yang memasuki tahun ke-65.

Tiada lawatan peringkat tertinggi dapat diadakan sepanjang tempoh dua tahun kebekalangan ini, disebabkan penularan COVID-19.



Kemuncak lawatan, Perdana Menteri dijadual bertemu rakan sejawatnya, Jeneral Prayut Chan-o-cha dan mengadakan Mesyuarat Terhad di Rumah Kerajaan.

Kedua-dua pemimpin juga akan mengadakan sidang media bersama, menyentuh isu-isu dua hala, dan dijangka membuat beberapa pengumuman penting yang akan dimuktamadkan bersama.

Pada lawatan kali ini, Perdana Menteri diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Media Baharu