KUALA LUMPUR, 29 April – Projek pembangunan Rumah Belia MADANI dan Rumah Mampu Milik di Mukim Batu perlu disegerakan serta dilaksanakan mengikut jadual bagi mengelakkan kelewatan yang membebankan bakal pemilik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan segala peraturan dan kelulusan berkaitan projek tersebut hendaklah diselesaikan segera tanpa karenah birokrasi yang melambatkan proses.
“Saya mahu projek ini dijalankan segera. Apa-apa peraturan dan kelulusan kena cepat. Saya tidak setuju kalau hanya buat pelancaran, orang datang tepuk tangan, kemudian senyap dua tiga bulan. Tidak. Datuk Bandar perlu jelaskan kepada saya minggu depan tahap pelaksanaan dan kelulusan projek ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Belia MADANI dan Rumah Mampu Milik di Mukim Batu, di sini,hari ini.
Projek tersebut merangkumi pembinaan dua blok Rumah Belia MADANI yang akan menyediakan 1,048 unit lengkap dengan kemudahan seperti dewan serbaguna, surau, dobi dan gerai MADANI seluas 6,000 kaki persegi.
Selain itu, tiga blok Rumah Mampu Milik turut dirancang, melibatkan 1,996 unit rumah berkeluasan 820 kaki persegi setiap satu.
Dalam majlis sama, Anwar turut menegaskan komitmen Kerajaan MADANI dalam mencapai sasaran pembinaan 500,000 unit rumah mampu milik menjelang tahun ini.
“Kalau 20 tahun lalu kita umum hendak bina 400,000 atau 500,000 rumah tapi tak pernah tercapai kerana ia perlukan kepimpinan dengan tekad politik yang jelas. Rumah orang kaya kadang-kadang komisen lebih tinggi; rumah kos rendah, komisen kecil. Kita kena pilih – komisen atau jaga rakyat? Kerajaan ini mesti utamakan pembelaan rakyat,” kata Anwar.
Projek itu dijangka menjadi antara pemangkin utama kepada usaha kerajaan dalam menangani isu perumahan khususnya bagi golongan muda dan berpendapatan rendah di bandar.