IPOH, 22 April – Projek Royal Nature Scholar (RNS) di Kuala Kangsar masih dalam peringkat perancangan, termasuk penambahan nilai terhadap aset dan sumber sedia ada.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek tersebut telah disepadukan dalam matlamat Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Kuala Kangsar 2035, sebelum diwartakan pada Mac 2023.
Beliau berkata, RTD itu akan menjadi rujukan utama bagi pembangunan dan pemajuan daerah Kuala Kangsar untuk tempoh 10 tahun akan datang.
“RTD ini telah menetapkan visi untuk menjadikan Kuala Kangsar sebagai ‘Daerah Warisan Hijau Sejahtera’, Pemeliharaan alam semula jadi, pengukuhan status Bandar Diraja, dan pengekalan identiti Bandar Ilmu terus diberi penekanan dalam perancangan pembangunan, projek, dan program yang akan dilaksanakan di daerah Kuala Kangsar,” katanya demikian dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak yang berlangsung di sini.
Projek RNS yang dirancang sejak tahun 2020 merupakan aspirasi mantan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid, bagi memperkukuh identiti Bandar Diraja itu melalui elemen keindahan alam semula jadi, warisan sejarah, kemudahan awam, dan pembangunan ilmu, dengan anggaran kos sebanyak RM30 juta.
Sementara itu, Saarani memaklumkan pihaknya mengambil langkah strategik dengan mengaktifkan semula Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Perak (MTEN Perak).
Menurut Saarani berkata, langkah berkenaan bagi membolehkan kerajaan negeri menilai impak dasar luar ekonomi terhadap sektor pekerjaan dan pelaburan negeri.
Jelasnya, MTEN Perak akan berfungsi sebagai platform konsultasi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pihak-pihak berkepentingan.
" Seterusnya, hasil perbincangan di platform MTEN Perak ini akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) untuk dipertimbangkan dan diputuskan sebagai punca kuasa atau mandat untuk dilaksanakan", katanya.