fb fb fb fb fb

Projek Permata Kinabalu Perkasa Pendidikan STEM

FOTO UM

KUALA LUMPUR, 13 Februari- Pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terus menjadi fokus dalam usaha memperkasakan modal insan negara, namun cabaran besar masih membelenggu usaha itu.

Statistik menunjukkan hanya 19 peratus pelajar sekolah menengah memilih aliran STEM pada tahun 2021, jauh lebih rendah daripada sasaran 60 peratus yang ditetapkan dalam Pelan Induk STEM 2026.

Menyedari kepentingan bidang itu dalam menghadapi Revolusi Industri 5.0, Yayasan Sabah dengan kerjasama Kolej Kediaman Pertama Universiti Malaya telah menganjurkan Projek ‘Permata Kinabalu’ yang berlangsung selama enam hari baru-baru ini.

Program, bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai pembelajaran STEM secara lebih praktikal dan berasaskan pengalaman.

Menurut satu kenyataan, antara aktiviti utama projek itu termasuk lawatan ke Fakulti Perubatan Universiti Malaya, di mana peserta didedahkan kepada anatomi badan manusia menerusi spesimen yang telah diawetkan.

"Pelajar juga diberi peluang menggunakan peralatan makmal untuk mengkaji sel haiwan dan tumbuhan, menjadikan pembelajaran sains lebih menarik dan interaktif.

"Selain itu, para pelajar turut berpeluang mengunjungi Rimba Ilmu bagi mendalami aspek penanaman, pemuliharaan flora serta inovasi dalam bidang pertanian.

"Antara kaedah yang diperkenalkan ialah pendebungaan secara kacukan dan teknik pengkulturan benih. Program ini turut menekankan kepentingan kelestarian alam sekitar dalam pembangunan teknologi masa kini," menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu turut memaklumkan, pengisian lain termasuk lawatan ke Muzium Geologi Universiti Malaya, di mana pelajar diperkenalkan kepada pelbagai jenis mineral seperti tembaga, bijih besi dan marmar serta kegunaannya dalam kehidupan seharian.

"Pendedahan ini diharapkan dapat merangsang kreativiti dan pemikiran kritis pelajar dalam meneroka aplikasi STEM secara lebih luas.

"Pembelajaran berasaskan pengalaman ini selari dengan pendekatan global yang terbukti berkesan dalam meningkatkan minat pelajar terhadap STEM. Di peringkat antarabangsa, negara seperti Finland dan Amerika Syarikat telah mengadaptasi kaedah ini dalam sistem pendidikan mereka melalui projek interdisiplinari dan penggunaan teknologi moden seperti pencetak 3D serta robotik," jelas kenyataan tersebut.

Di Malaysia, Pelan Induk STEM 2026 yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut menekankan pendekatan inovatif dalam kurikulum STEM.

Program seperti perkhemahan STEM, lawatan sambil belajar ke pusat sains dan pertandingan inovasi semakin mendapat sambutan di sekolah-sekolah sebagai langkah menarik minat pelajar.

Pelaksanaan Projek ‘Permata Kinabalu’, usaha pemerkasaan STEM di Malaysia terus diperkukuh, sekali gus memberi impak positif dalam menyediakan generasi yang lebih bersedia menghadapi cabaran global.

"Diharapkan lebih banyak inisiatif seumpama ini dapat dijalankan bagi memastikan pendidikan STEM terus berkembang dan relevan di negara ini," menurut kenyataan itu lagi.

 

1302 UM ANAK SABAH
FOTO UM

 

1302 UM ANAK SABAH 2FOTO UM

 

1302 UM ANAK SABAH 3
FOTO UM

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE