fb fb fb fb fb

Program Intervensi Kurikulum KPM berhasil, 48,000 murid kini celik huruf

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Rusmini Ku Ahmad

KANGAR, 13 Februari- Program Intervensi Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membantu seramai 48,000 daripada 122,062 murid tahun satu yang sebelum ini tidak boleh membaca untuk menguasai kemahiran tersebut.

Dilancarkan pada Mac tahun lalu, program berkenaan menunjukkan hasil yang positif dalam usaha KPM memperkasa mutu pendidikan negara.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Rusmini Ku Ahmad, berkata program itu membolehkan guru-guru di sekolah memberikan bimbingan khusus kepada murid Tahun Satu yang masih belum boleh membaca sehingga mereka menguasai kemahiran membaca, menulis, dan mengira (3M).

"48,000 murid setakat cuti sekolah tempoh hari, sudah boleh membaca, menulis dan mengira, jadi ada kemajuan di situ.

"Kita juga dah maklum di peringkat masyarakat,maknanya program kita ini ada mendatangkan hasil,itu daripada peringkat Kementerian Pendidikan kita tangani dari tahun 1 kemudian disambung pula oleh Program Anak Kita menerusi guru pemulihan kita di sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis peluncuran Program Anak Kita ; SPM 2025 peringkat negeri Perlis di Kangar.

Majlis disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE