fb fb fb fb fb

Projek Pemindahan Air Sungai Perak di peringkat akhir perancangan - Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto RTM

BAGAN SERAI, 14 Mac – Projek Pemindahan Air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah bagi menyalurkan bekalan air ke Daerah Kerian dan Pulau Pinang kini berada di peringkat akhir perancangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata projek itu akan melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu (KIGIP) di Kerian dan turut menyalurkan bekalan air ke Seberang Perai, Nibong Tebal serta Sungai Bakap.

Beliau menjelaskan projek itu dijangka menyelesaikan masalah bekalan air bersih dalam jangka panjang di kawasan yang terlibat.

“Kita baik pulih dan tambah keupayaan Sungai Perak, kemudian buat saliran terus ke Bukit Merah dan seterusnya ke Kerian. Ini akan menjadi bekalan utama bukan sahaja untuk kawasan pembangunan baharu seperti KIGIP tetapi juga untuk seluruh daerah ini hingga ke Seberang Perai, Sungai Bakap dan Cherok Tok Kun, sekali gus memberi manfaat kepada Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri di Sekolah Dato’ Alauddin, Selinsing, di sini.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Pada Jun tahun lalu, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM4 bilion bagi pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah di daerah Kerian.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN