fb fb fb fb fb

Projek naik taraf Kampung Minyak Beku, JANM salur RM1 juta

Penduduk Kampung Minyak Beku, Batu Pahat, bakal menikmati pembangunan bernilai RM1 juta menerusi Program Kampung Angkat MADANI (KAM) anjuran Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM)

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Penduduk Kampung Minyak Beku, Batu Pahat, bakal menikmati pembangunan bernilai RM1 juta menerusi Program Kampung Angkat MADANI (KAM) anjuran Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), yang dijangka memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat.

JANM dalam kenyataannya memaklumkan, peruntukan tersebut membolehkan beberapa projek pembangunan dilaksanakan sehingga Disember 2025, termasuk penyediaan saluran paip air bersih ke 16 rumah, pembinaan pagar tanah perkuburan, penyediaan kemudahan pengurusan jenazah serta naik taraf Balai Islam kampung berkenaan.

Majlis Penyerahan Mula Projek (Kick Off) naik taraf kemudahan KAM disempurnakan Akauntan Negara, Datuk Nor Yati Ahmad.

Turut hadir, Timbalan Akauntan Negara (Operasi), Puan Noorlida Mohd Khalid; Timbalan Pengarah ICU Johor, Datin Norasikin Nordin; serta Pengarah KKDW Johor, Puan Amy Lydia Adnan.

Majlis itu juga menyaksikan penyerahan projek pembinaan pagar perkuburan dan penyediaan saluran paip air kepada kontraktor dilantik, selain penyerahan van jenazah baharu kepada Masjid Jamek Haji Arshad bagi menggantikan kenderaan lama yang uzur.

Dengan pelaksanaan projek tersebut, penduduk yang sebelum ini bergantung kepada sumber air perigi akan menikmati bekalan air bersih, manakala pembinaan pagar perkuburan pula diyakini mampu memelihara kebersihan serta mengelakkan gangguan haiwan liar.

Dalam ucapannya, Datuk Nor Yati merakamkan penghargaan kepada pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkaitan termasuk KKDW, JKR, MAIJ, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Koridor Utiliti Johor serta kontraktor terlibat.

Beliau turut menegaskan agar semua projek dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan mencapai tahap kualiti terbaik demi kesejahteraan penduduk kampung.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN