KUALA LUMPUR, 23 Ogos - Dakwaan kononnya 10,000 pelajar Bangladesh di Malaysia akan diberikan 'Graduate Pass' bagi membolehkan mereka bekerja di negara ini adalah tidak benar.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menafikan dakwaan tersebut dengan menyifatkan ia tidak tepat sama sekali.
Beliau menegaskan tuduhan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Haim Hilman Abdullah itu jelas tidak berasas.
Zambry juga menasihati Haim Hilman agar lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan berhubung apa-apa isu termasuk yang berkaitan dengan pendidikan tinggi.
"Saya menasihatkan beliau agar lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan berhubung apa-apa isu termasuk yang berkaitan dengan pendidikan tinggi.
"Hanya berdasarkan laporan surat khabar di Bangladesh, beliau telah membuat tuduhan bahawa saya telah bersetuju untuk mempertimbangkan ‘Graduate Pass’ kepada 10,000 pelajar Bangladesh di Malaysia untuk membolehkan mereka bekerja di sini. Tuduhan tersebut adalah tidak benar dan tidak tepat sama sekali," kata beliau dalam kenyataan, hari ini.
Zambry berkata semasa lawatan Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Prof. Dr. Muhammad Yunus baru-baru ini tidak ada sebarang Memorandum Persefahaman (MoU) atau perjanjian ditandatangani yang mengikat Malaysia untuk menerima 10,000 pelajar Bangladesh bekerja di negara ini.
Dakwaan bahawa wujud perjanjian sedemikian adalah tidak berasas dan kenyataan Haim Hilman yang mendakwa kononnya rakyat resah kerana Malaysia telah bersetuju dengan perkara ini adalah sangat tidak bertanggungjawab.
Tegas beliau, tuduhan yang dilemparkan itu adalah sangat tidak bertanggungjawab dan mencipta ruang kepada pelbagai persepsi yang mengelirukan.
"Sebagai seorang berlatarkan akademik, beliau seharusnya membuat kenyataan berdasarkan fakta yang benar, tepat, dan sahih, bukannya spekulasi atau menyebarkan maklumat semberono. Prinsip akademik menuntut kepada informasi yang berintegriti, bertepatan dan kebenaran.
"Saya ingin menegaskan agar Haim Hilman tidak sewenang-wenangnya mencipta persepsi dengan menyampaikan maklumat yang tidak tepat serta mengelirukan rakyat. Budaya menghasilkan ‘content’ untuk diviralkan di media sosial dengan fakta yang salah perlu segera dihentikan," katanya.