SEREMBAN, 23 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Kilang Pembuatan Kenderaan Perisai Nasional Pertama milik Mildef International Technologies Sdn Bhd (Mildef) di Sendayan, Negeri Sembilan.
Kilang berteknologi tinggi itu dibangunkan dengan kos pelaburan dianggarkan sekitar RM2 bilion, dan dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada suku pertama tahun hadapan.
Menurut Perdana Menteri, kewujudan syarikat tempatan seperti Mildef mampu memperkukuh infrastruktur pertahanan negara serta menambah kapasiti pengeluaran secara signifikan, selaras dengan hala tuju yang digariskan dalam Kertas Putih Dasar Pertahanan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto Bernama
“Perlu ada perbelanjaan besar dalam bidang perolehan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan pertahanan negara lebih mantap dan kukuh. Namun, kita tidak boleh hanya bergantung kepada perolehan dari luar negara.
“Mesti ada usaha membina kekuatan dalaman melalui penyelidikan dan pengeluaran oleh sektor swasta dengan dukungan penuh Kementerian Pertahanan dan kementerian lain, termasuk kerjasama universiti, supaya kita benar-benar membangunkan kekuatan industri pertahanan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kilang Pembuatan Kenderaan Perisai Nasional di Mildef International Technologies, Sendayan, di sini, hari ini.