fb fb fb fb fb

Projek Melaka Gateway bakal tingkatkan pelaburan dan ekonomi Melaka

PULAU MELAKA, 8 Mac- Kerajaan Negeri Melaka menyerahkan semula Projek Melaka Gateway kepada KAJ Development Sdn Bhd.

Menurut Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, ia selepas syarikat berkenaan berjanji untuk menyelesaikan semua pembangunan dalam tempoh yang ditetapkan.

Susulan itu, perjanjian bagi pelaksanaan projek di Pulau Satu (PME1) telah dimeterai pada 23 Februari lalu.

Projek membabitkan nilai pelaburan kira-kira RM15.25 billion itu dijangka siap dalam tempoh 6 tahun yang membabitkan pembinaan jeti dan terminal kapal pelayaran, hotel, pusat pameran serta taman tema bertaraf dunia.

"Penyerahan semula projek ini adalah supaya ia dapat menjana ekonomi yang lebih baik rentetan termeterainya perjanjian tersebut kerja pembinaan di Pulau Satu telah pun disambung semula."

"Pulau Satu membabitkan pelancongan gaya hidup yang menyediakan antaranya jeti terminal kapal pelayaran, hotel, pusat pameran dan persidangan antarabangsa, hospital, institut pengajian tinggi dan juga taman tema bertaraf dunia” kata Ab Rauf dalam sidang media hari ini di pejabat KAJ Development Sdn Bhd, di sini.

(EXCO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sempat membuat lawatan kerja ke Tapak Projek Melaka Gateway di Pulau Melaka bersama agensi-agensi kerajaan/ FB EXCO)

Tambah Datuk Seri Ab Rauf, Projek Melaka Gateway akan menjadi Pintu Pelaburan Asia yang bakal mengubah senario ekonomi Melaka kepada Ekonomi 365 hari berbanding konsep ekonomi hujung minggu ketika ini.

Malah katanya, pembangunan PME1 sahaja akan menyumbang lebih RM32.5 billion kepada Pertumbuhan Dalam Negeri Kasar Melaka dengan unjuran impak berganda sebanyak RM306.73 billion.

Terdahulu, perjanjian bagi projek Melaka Gateway telah ditandatangani pada 4 Oktober 2017, namun disebabkan masalah teknikal dan penularan COVID-19 projek ini tidak dapat diteruskan.

Pada Oktober 2020, Kerajaan Negeri menamatkan perjanjian bersama KAJD selepas syarikat gagal menyiapkan projek mengikut tempoh ditetapkan.

Bagaimanapun, hasil perbincangan semula antara kedua-dua pihak, projek ini diserahkan semula kepada KAJD untuk dibangunkan mengikut tempoh yang dipersetujui.

Media Baharu