fb fb fb fb fb

Projek Ipoh Sentral model pembangunan Malaysia MADANI

Datuk Seri Anwar berkata, Ipoh Sentral membuktikan gagasan MADANI bukan sekadar slogan.

IPOH, 16 Ogos - Projek Pembangunan Ipoh Sentral disifatkan sebagai detik bersejarah, bukan sahaja bagi bandar raya Ipoh tetapi juga untuk negara.

Projek berkonsepkan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) itu dirangka sebagai model pembangunan MADANI yang menitikberatkan keseimbangan antara rakyat, budaya, pendidikan, perumahan dan teknologi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Ipoh Sentral membuktikan gagasan MADANI bukan sekadar slogan, sebaliknya diterjemahkan melalui pembangunan inklusif yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

“Negara MADANI itu harus sentiasa prihatin dan menyantuni rakyat. Kalau tidak, MADANI itu tidak lebih daripada slogan. Maka harus difikirkan ciri-ciri yang boleh mengangkat budaya, tamadun, teknologi baharu dan rakyat keseluruhannya, daripada golongan paling kaya hingga rakyat biasa,” katanya.

Berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ipoh Sentral di perkarangan Stesen Keretapi Ipoh, beliau berkata projek ini melibatkan pembinaan rumah, sekolah, tempat ibadat, kemudahan kesihatan serta sistem pengangkutan moden.

Perdana Menteri turut menekankan peranan syarikat besar seperti MRCB dalam memberi latihan awal kepada anak tempatan, termasuk dalam bidang digital dan kecerdasan buatan.

“Latihan itu dari awal adalah tanggungjawab syarikat-syarikat besar, termasuk MRCB. Mereka perlu melatih serta memanfaatkan pengalaman kita supaya tenaga kerja bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, tetapi juga pendedahan praktikal yang mencukupi,” jelasnya.

Ipoh Sentral dijangka muncul sebagai mercu tanda baharu bandar moden yang mampan, selain menjadi contoh pembangunan seimbang berteraskan prinsip Malaysia MADANI.

TUN JULIA MOHD TAHIR