fb fb fb fb fb

MCMC, PDRM buru doktor pakar palsu

Orang ramai diingatkan agar lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan sebarang dakwaan melalui media sosial, terutamanya yang melibatkan identiti tidak disahkan. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Ogos - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengenal pasti identiti seorang pengguna TikTok yang mendakwa dirinya sebagai pakar bedah terlibat dalam kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata individu berkenaan mendakwa dirinya hadir semasa proses bedah siasat jenazah pelajar itu pada 10 Ogos lepas, namun semakan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan individu itu bukan seorang doktor pakar mahupun petugas KKM.

"Kandungan ucapan beliau dalam sesi itu telah tular dengan pelbagai perkara telah beliau ungkapkan. Seolah-olah ia benar-benar berlaku melibatkan kes arwah Zara Qairina. Pihak berkuasa sedang mengesan individu ini untuk dihadapkan ke muka pengadilan.” katanya selepas ditemui pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 2025 di Institut Pendidikan Guru, Kampus Bahasa Melayu di sini.

Menurut Datuk Fahmi perkara itu telah disahkan sendiri oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad melalui laporan rasmi yang diterima daripada Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Nor Azimi Yunus yang mendapat maklumat sahih daripada pakar forensik terlibat dalam kes tersebut.

“Ketua pasukan forensik dalam kes ini telah memaklumkan bahawa individu berkenaan bukan pakar forensik dan segala maklumat yang disebarkan adalah palsu.

“Akaun TikTok individu itu juga telah ditukar kepada tetapan peribadi, menyukarkan pihak berkuasa untuk berinteraksi dengannya,” katanya.

Justeru beliau mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan sebarang dakwaan melalui media sosial, terutamanya yang melibatkan identiti tidak disahkan.

Penyebaran maklumat palsu adalah satu kesalahan serius dan sekiranya disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai selepas dimasukkan ke hospital.

Allahyarham dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar pada pukul 4 pagi, 16 Julai.

JALALUDDIN BIN BAHARIN