fb fb fb fb fb

Pahang International Green Eye Squid Hunting 2025 tarik lebih 100 peserta

FOTO Unit Komunikasi Korporat Tourism Pahang

KUANTAN, 16 Ogos - Seramai 105 peserta menyertai kejohanan memancing 'Pahang International Green Eye Squid Hunting 2025', hari ini.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Leong Yu Man berkata, program tersebut merupakan anjuran Persatuan Memancing dan Rekreasi Darul Makmur dengan kerjasama Tourism Pahang.

Beliau berkata, sotong mata hijau atau sotong mabang istimewa kerana mempunyai corak badan yang menarik dan berwarna-warni.

"Sotong mata hijau memiliki keupayaan luar biasa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran laut, menjadikan ia sukar
ditangkap dan memberi cabaran sebenar kepada para pemancing berpengalaman.

"Sotong jenis ini agak istimewa kerana mempunyai corak badan yang menarik dan berwarna-warni menjadikannya mudah dikenal pasti dalam kalangan spesies lain.

"Kami berhasrat menjadikan Pahang International Green Eye Squid Hunting sebagai acara tahunan yang ikonik, sekaligus meletakkan Kuantan di peta pelancongan maritim antarabangsa, "katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, selain mempromosikan sukan memancing sebagai aktiviti rekreasi dan pelancongan, kejohanan itu turut membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat, termasuk nelayan, pengusaha bot, peniaga kecil serta penyedia perkhidmatan pelancongan.

Yu Man berkata, Pahang dikenali dengan keindahan persisiran pantainya yang membentang sejauh 210 kilometer dari Kuantan hingga ke Rompin menjadikannya destinasi pelancongan maritim yang amat berpotensi.

Katanya, Rompin pula terkenal di peringkat antarabangsa sebagai lokasi utama bagi aktiviti memancing ikan layaran yang menjadi tarikan utama kepada pemancing tegar dari dalam dan luar negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE