KUALA LUMPUR, 16 Ogos - Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan dakwaan mereka membelanjakan RM20 juta bagi proses penjenamaan baharu.
TH dalam kenyataan menegaskan dakwaan sedemikian adalah tidak benar dan fitnah.
Sebaliknya perbelanjaan sebenar yang diperuntukkan untuk proses peremajaan jenama berjumlah RM2 juta setahun bagi tempoh tiga tahun.
"Usaha memperkukuh jenama telah dilaksanakan beberapa kali sebelum ini sebagai satu bentuk pelaburan penting bagi mengubah minda dan menarik minat umat Islam untuk menabung secara sistematik demi memenuhi syarat kemampuan menunaikan haji," menurut kenyataan itu.
TH turut memaklumkan bahawa proses penjenamaan semula ini melibatkan tinjauan pasaran serta libat urus bersama pendeposit bagi memahami keperluan mereka dengan lebih baik.
Ia juga mengambil kira perubahan demografi masyarakat Islam di Malaysia yang semakin ketara.
“Dakwaan bahawa TH tidak perlu berusaha memperkukuhkan jenamanya yang dikenali ramai setelah 60 tahun beroperasi juga adalah tidak tepat,” tambah kenyataan itu.
Setakat ini, TH mempunyai 9.6 juta pendeposit iaitu kira-kira separuh daripada populasi Muslim negara.
Daripada jumlah itu, lebih 53 peratus pendeposit mempunyai simpanan kurang daripada RM1,300 iaitu jauh daripada mencukupi untuk menunaikan ibadat haji memandangkan kos haji bagi jemaah kumpulan B40 pada 2025 dianggarkan RM15,000 seorang.
Justeru, TH sedang merancang kempen untuk menggalakkan umat Islam menabung awal, konsisten dan sistematik bagi meningkatkan simpanan ke paras mencukupi, selain memastikan pelaburan yang stabil demi kelestarian institusi.
TH juga memaklumkan bahawa Lembaga Pengarah telah memutuskan untuk mengkaji semula strategi agensi tersebut supaya kekal berdaya saing dalam memberi perkhidmatan terbaik dan menarik minat lebih ramai umat Islam muda sebagai pendeposit.
Terdahulu, isu mengenai kos penjenamaan baharu TH itu dibangkitkan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary di Dewan Rakyat minggu lepas semasa perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Sementara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa beliau akan menyentuh isu tersebut pada sesi penggulungan portfolionya di Dewan Rakyat pada Isnin ini.