KUCHING, 16 Ogos – Satu kes rabies dikesan bawah seliaan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) antara 11 hingga 15 Ogos lalu.
MBKS dalam kenyataan memaklumkan, kes itu melibatkan seekor anjing liar tanpa tuan yang ditemui di Lorong 3, Jalan Segubang, Batu Kawa.
Sementara itu, statistik semasa menunjukkan rabies masih menjadi ancaman serius di Sarawak. Pada Mac 2025, sebanyak 11 kes positif dikesan melalui ujian makmal Jabatan Veterinar Sarawak.
Sepanjang tahun 2024, daripada 889 sampel haiwan diuji, sebanyak 123 kes positif direkodkan, dengan Kuching mencatat angka tertinggi iaitu 79 kes.
Sehubungan itu, orang ramai terutama pemilik haiwan peliharaan diingatkan supaya memberi vaksinasi antirabies secara berkala dan memastikan haiwan tidak dilepaskan bebas. Pihak berkuasa menegaskan, kegagalan memberi bukti vaksinasi boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda sehingga RM2,500 atau haiwan ditahan.
MBKS turut menasihati orang ramai agar mengelak daripada mendekati anjing liar serta segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan sekiranya digigit atau dicakar.