LENGGONG, 15 Januari – Projek pembangunan infrastruktur Kampung Angkat MADANI, Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kampung Beng, di sini kini telah mencapai kemajuan sebanyak 85 peratus.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata hanya dua projek utama yang masih belum siap, iaitu pembinaan pondok polis dan pintu gerbang, yang dijangka selesai dalam tempoh sebulan.
"Projek-projek berjalan ikut jadual. Apabila siap sepenuhnya, kita akan buat penyerahan keseluruhan projek. Saya percaya KDN antara kementerian yang menyelesaikan semua program dan projek di bawah Kampung Angkat MADANI," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bot Pondok Polis Kampung Beng dan Kunci Kuarters Balai Polis Lenggong.
Sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan untuk penambahbaikan enam kemudahan asas di Kampung Beng, termasuk air, jalan, lampu jalan, kemudahan masyarakat, dan capaian internet.
Kampung Beng terdiri daripada enam perkampungan kecil iaitu Kampung Durian Lubuk, Kampung Beng Dalam, Kampung Dusun, Kampung Sekolah, Kampung Durau, dan Kampung Batu Ring.
Dalam perkembangan lain, Shamsul Anuar berkata keputusan mengenai pengiktirafan Lenggong Geopark sebagai Taman Geologi Global UNESCO dijangka diketahui menjelang penghujung tahun depan.
Beliau optimis, Lenggong Geopark akan mencapai pengiktirafan itu berdasarkan penemuan artifak bertaraf antarabangsa yang memenuhi kriteria ditetapkan.
"Semua bahan dokumen penting telah dilengkapkan. Penilaian oleh jawatankuasa UNESCO Global Geopark akan dilakukan tidak lama lagi," katanya.
Lenggong Geopark, dengan keluasan 2,068 kilometer persegi, diiktiraf sebagai Taman Geologi Kebangsaan pada 16 Disember 2021.
Ia menyimpan khazanah ketamadunan manusia, nilai warisan, serta bentuk muka bumi menarik seperti Gua Kajang, Gua Teluk Kelawar, dan Gunung Pulut.