KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Peralihan daripada menumpukan usaha membasmi kemiskinan tegar dalam Rancangan Malaysia ke 12, komitmen negara untuk tangani jurang kemiskinan dan agihan pendapatan yang tidak setara dalam Rancangan Malaysia ke 13, dialu-alukan.
Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr Nur Azura Sanusi berkata, tumpuan kerajaan yang kini beralih kepada ekonomi berasaskan pengetahuan merupakan komponen penting yang akan memacu pertumbuhan ekonomi negara.
“Ekonomi kita dalam RMK13 menuju ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan, ekonomi teknologi, dan inovasi. Penekanan kini diberi kepada aspek pengkomersialan serta menarik minat terhadap bidang seperti ekonomi hijau, ekonomi biru, dan ekonomi kitar semula.” jelas beliau.
Didorong oleh faktor-faktor semasa yang mencabar seperti peperangan, isu tarif, serta ketidaktentuan harga minyak, Profesor Dr Nur Azura menjelaskan bahawa penyenaraian langkah-langkah strategik dalam pembentangan RMK13 dijangka memberi impak positif kepada negara, terutamanya kepada negeri Terengganu.
Antara inisiatif utama yang diumumkan termasuk projek Solar Terapung Hibrid Hidro dan Hab Hidrogen Hijau di Tasik Kenyir, projek rintis Pemerangkapan Karbon dalam industri besi dan keluli di Kemaman, projek ECRL, serta pemerkasaan industri pelancongan yang dijangka membuka peluang besar dalam bentuk pelaburan dan pekerjaan.
“Pelaburan yang kita harapkan adalah pelaburan masuk atau capital inflow, bukan capital outflow. Pembentangan RMK13 turut memberi penekanan kepada bagaimana pelaburan ini dapat menarik masuk pelabur asing ke dalam negara, khususnya dalam industri-industri strategik yang telah diumumkan sebelum ini.” katanya.