KUALA LUMPUR, 31 Julai - Melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan akan terus memperkasa golongan rentan seperti wanita, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas melalui pelbagai inisiatif dengan memfokus kepada pendidikan, latihan kemahiran serta penyertaan dalam pasaran kerja.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan cakna terhadap keperluan pendidikan bagi OKU kerana hampir 171,000 kanak-kanak golongan itu, termasuk yang menghidap autisme, direkodkan mempunyai masalah dalam pembelajaran setakat Jun 2025.
"Oleh itu, dalam RMK13, inisiatif akan diteruskan untuk memperluas fasiliti dan kapasiti pendidikan khas kepada golongan rentan ini di seluruh negara. Ini termasuklah projek pembinaan blok Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di 34 buah sekolah sedia ada
seluruh Malaysia.
"Selain itu, pembinaan sekolah baharu yang dilengkapi dengan kemudahan PPKI akan diteruskan," katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri juga berkata, untuk meningkatkan penyertaan warga emas, Orang Asli dan OKU dalam pasaran kerja, sokongan dan latihan yang mencukupi akan
diberikan melalui program Akademi Dalam Industri (ADI), Pelan Tindakan OKU Kebangsaan dan insentif kepada majikan.
Beliau berkata pada masa sama, had umur persaraan wajib akan diteliti semula untuk disesuaikan dengan peralihan kepada negara tua.